Belia diminta rebut peluang

KUALA LUMPUR 15 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu golongan belia
merebut segala peluang yang disediakan oleh kerajaan kepada mereka.
Perdana Menteri berkata, peluang yang disediakan oleh kerajaan bukan sahaja
banyak tetapi sentiasa diperbaiki dan dipertingkat dari semasa ke semasa demi
kebaikan golongan itu di masa depan.
``Ambillah peluang itu. Belajar bersungguh-sungguh. Menjadi muda hanya
sekali. Jangan terlepas, jangan alpa dan jangan lupa untuk bersedia kerana
apabila tiba masa, anda akan menjadi generasi pendokong perjuangan yang akan
menentukan nasib negara pada masa depan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 10,000 belia dari seluruh
negara yang menyertai Perhimpunan Hari Belia Negara 2006 di Stadium Putra, Bukit
Jalil malam ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said; Menteri Besar
Selangor yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir
Toyo dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Presiden
Pergerakan Belia 4B.
Menurut Abdullah, golongan belia tidak boleh lari daripada tanggungjawab
untuk mewarisi kepimpinan pada masa depan.
Justeru tegas beliau, belia perlu bersedia kerana apabila tiba masanya untuk
menjalankan tanggungjawab itu mereka mesti memiliki keupayaan dan kemahiran.
``Ingatlah masa depan yang sedang menunggu. Cabaran dan saingan akan menjadi
lebih dahsyat khususnya dari negara lain
``Ingatlah bahawa belia tidak boleh lari daripada tanggungjawab akan datang.
Apabila tiba masa menjalankan tugas itu, mesti ada keupayaan dan kekuatan,''
katanya.
Beliau menambah, tidak kira di sektor mana pun yang akan diceburi, cabaran
yang menanti belia pada masa depan adalah amat besar.
Sebelum itu, kehadiran Perdana Menteri menaiki kereta vintaj Mini Cooper
mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Perdana Menteri yang memandu sendiri kereta antik kesayangannya itu dari
kediamannya di Putrajaya kemudian disambut oleh Azalina dan Mohamad Khir yang
menunggang motosikal.
Majlis perhimpunan tersebut turut dimeriahkan dengan bacaan ikrar dan bacaan
amanat belia kepada Perdana Menteri, selain persembahan hiburan oleh artis
tempatan.
|